Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

Friday, July 29, 2011

TEGUR MENEGUR

Rasulullah SAW bersabda:


Perumpamaan orang-orang yang berpegang kepada kebenaran dan orang-orang yang melakukan kesalahan adalah seumpama penumpang-penumpang di atas sebuah kapal yang besar. Sebahagian penumpang berada di atas kapal dan sebahagian berada di dalam perut kapal. Sekiranya orang-orang yang berada di bawah ingin mengambil air dan mereka malas untuk mengambilnya daripada bahagian atas kapal sebaliknya mereka menebuk dinding kapal dan mendapatkan air terus daripada lautan. Sekiranya orang yang berada di atas hanya melihat sahaja (tindakan menebuk dinding kapal), maka lambat laun seluruh kapal tersebut akan tenggelam, tetapi sekiranya mereka menegur dan mencegah perbuatan tersebut maka semua penumpang kapal tersebut selamat (kapal tidak karam)” (riwayat al Bukhari).

Daripada hadith ini, terserlah suatu pengajaran yang amat bermakna; budaya saling nasihat-menasihati dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri dan rakan sepasukan akan menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi. Analogi yang dibuat dalam hadith di atas sangat accurate.



Sebuah kapal yang besar sekalipun, akan karam sekiranya ada antara anak kapal tersebut yang menebuk dinding kapal untuk mendapatkan air. Mungkin yang melakukan perbuatan tersebut hanya 10 orang daripada 5000 anak kapal, tetapi sekiranya 4990 orang hanya melihat perbuatan yang dilakukan oleh 10 orang tersebut akhirnya semua anak kapal berkemungkinan mati lemas.



MENEGUR DAN DITEGUR




Dalam membudayakan sifat memberi dan menerima dalam konteks memajukan diri dan organisasi, ada dua sudut yang perlu dilihat.





PERTAMA: orang yang menegur atau menasihati dan KEDUA: orang yang ditegur atau dinasihati.


Orang yang menegur hendaklah sentiasa ikhlas dalam menegur atau menasihati sesiapa. Janganlah teguran ini disebabkan konflik peribadi. Ingat, teguran bukan HENTAMAN. Teguran yang ikhlas dari hati, pasti akan memberikan kesan yang membekas di hati, insha Allah. Orang yang menegur juga sebaik mungkin mencari jalan yang terbaik untuk menasihati orang yang hendak dinasihatinya supaya nasihat itu dapat disampaikan dengan berkesan.





Bagi orang yang ditegur, terima sesuatu teguran dan nasihat secara positif dan konstruktif. Analisalah setiap teguran dan nasihat yang diterima. Percayalah, kita tidak rugi sesenpun sekiranya berubah untuk memajukan sendiri. Cuma kadang-kadang ubat yang mujarab biasanya agak pahit, tetapi kesannya SUPERB!







Bagi seorang Muslim, teguran jujur dan baik yang diterima oleh seseorang itu adalah tanda kasih sayang Allah. Janganlah berdendam kepada orang yang menegur dan menasihati kita dan sekiranya teguran tersebut dirasakan tidak betul, anggaplah orang yang menegur itu punya niat yang baik walaupun tersalah.







Hakikatnya kita manusia; nobody is perfect!




Friday, July 22, 2011

KERJA, MAKAN DAN DOA




Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah Maha Baik dan tidak menerima sesuatu kecuali yang baik jua. Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu apa yang telah diperintahkan kepada Para Rasul di mana Allah berfirman: "Wahai sekalian Rasul, makanlah makanan yang baik (halal) dan beramallah dengan amalan soleh". Allah juga berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dan minumlah kamu daripada makanan dan minuman yang suci dan halal". Baginda menyambung ucapannya dengan menceritakan kisah seorang lelaki yang dalam perjalanan yang panjang; rambutnya kusut dan badannya berdebu. Lelaki itu mengangkat kedua-dua tangannya ke langit dan berdoa; Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Rasulullah berkata: Sedangkan makanannya daripada harta yang haram, minumannya daripada harta yang haram, pakaiannya daripada harta yang haram, dan segala yang masuk ke dalam mulutnya daripada harta yang haram. Bagamana Allah akan memakbulkan doanya?!" (riwayat Muslim dan Termizi).




Hadith di atas mengaitkan antara pekerjaan dan ibadah yang diperolehi oleh seseorang itu. Seorang Muslim wajib mencari pekerjaan yang halal dan melaksanakan pekerjaan tersebut secara berkualiti. Daripada pekerjaan yang halal inilah datangnya hasil pendapatan yang BARAKAH. Malangnya dalam zaman yang serba maju ini, ada segelintir yang tidak begitu prihatin persoalan sumber pendapatannya samada halal ataupun tidak, janji KAYA!




Pendapatan yang halal bukan semata-mata dilihat kepada jenis pekerjaan seperti bertugas di perbankan Islam, tetapi ada aspek yang menjadikan pendapatan kita tercemar dengan perkara haram walaupun kita bertugas di sebuah institusi Islam. Contohnya apabila mengemukan tuntutan (claim) lebih daripada yang sepatutnya, tidak melaksanakan tugasan yang diberikan dengan sengaja, rasuah dan banyak lagi unsur-unsur yang lain.




Justeru, makanan daripada pendapatan yang tidak bersih ini akan mengotori zahir dan batin kita walaupun kekotoran ini tidak dapat dilihat oleh mana-mana teropong atau mikroskop di dunia ini. Kekotoran inilah yang sentiasa menjadi penghalang kita daripada menerima hidayah dari Allah. Kita mungkin kaya dan mewah dengan 'income' yang bercampur-baur tersebut, tetapi kita jauh daripada kebahagiaan dan ketenangan yang hadir sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita. Ketenangan dan kebahagiaan ini tidak dapat dibeli walaupun oleh seorang billionaire! Bukankah sekarang ramai orang yang ketawa tapi tidak gembira??? Bukankah ramai orang yang gembira tetapi tidak bahagia???




Kita juga bimbang, apabila kita berada dalam kesempitan dan kesusahan, doa kita juga tidak didengari Allah seperti kisah lelaki di dalam hadith tersebut. Alangkah malangnya kita, sudah jatuh ditimpa tangga!




Friday, July 15, 2011

sabda Rasulullah S.a.w
barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan..

1. bismillahhirrahmann irrahim:



pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2. alhamdulliah:



pada tiap-tiap habis melakukan sesuatu.

3. astagfirrullah:



jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.

4.insyaallah:



jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.

5. lahaulawalaquataill ahbillah :



bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.

6.innalillah:



jika menghadapi musibah atau melihat kematian.

7.laailaahaillallah :



bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak-banyaknya. amalkanlah selalu moga-moga kita tergolong dikalangan orang yang terpilih oleh Allah.

Friday, June 10, 2011

SEMANGAT JUANG MELAWAN MUSIBAH/PENYAKIT

Kita akan berasa khuatir dan cemas sewaktu menanggung musibah yang datang kepada kita sekiranya kita tidak menyedari bahawa kesenangan duniawi ini hanyalah impian atau bayang-bayang yang akan hilang. Jika kesedaran itu dapat menyerap ke dalam jiwa kita, maka kita akan terhibur dalam menanggung musibahnya, maka hati dan jiwa kita akan bangkit dengan kuat untuk melawan musibah dengan hati yang lapang. Menerusi panduan Al-Quran dan hadis dapatlah difahami bahawa tidak satu ummah di dunia ini membawa banyak kebajikan dan kesenangan melainkan akhirnya dipenuhi dengan airmata. Pada hakikatnya, disamping kegembiraan, dunia ini juga dipenuhi dengan dukacita. Begitulah hakikat yang nyata bagi manusia yang mengetahui.



Berkata Ibnu Mas'ud ra "Setiap kesenangan berhubungan dengan kesusahan dan tidak satu rumah pun yang penuh dengan kesenangan kecuali akan penuh pula dengan kesusahan." Berkata pula Ibnu Sirin: Tidak suatu gelak ketawa pun kecuali akan diikuti pula oleh tangis sesudahnya." Bermakna seseorang itu tidak akan dapat menerima derita musibah yang menimpa jika dia tidak mengerti hakikat hidup ini. Semua keterangannya terdapat dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW.



Al-Quran adalah kata-kata Allah SWT dan dapatlah disimpulkan bahawa Al-Quran adalah penawar segala penyakit menjadi ubat yang paling bermanfaat untuk penyakit hati dan badan. Menjadi tempat kehidupan dan tempat kembali dunia dan akhirat. Tidak ada ubat yang lebih bermanfaat untuk menyembuhkan hati selain Al-Quran. Dialah ubat penyakit hati yang penuh sempurna. Ia tidak pernah meninggalkan suatu pun di dalam hati melainkan disembuhkannya. Ia memelihara kesihatan yang mutlak dan melindungi dengan sempurna segala penyakit dan bahaya.






Namun, hati orang Islam, kebanyakannya berpaling dari Al-Quran kerana mereka tidak mengamalkan resipinya sebagaimana orang sakit mematuhi arahan dan aturan doktor. Mereka meninggalkan Penyembuh, padahal mereka sakit dan minta disembuhkan. Hakikatnya, orang Islam yang tidak mengendahkan ubat teragung ini untuk mengubati penyakit jiwa dan raga mereka akan menyebabkan penyakit mereka bertambah kronik yang sukar diubati, malah jiwa mereka akan lebih parah jika ditimpa suatu musibah.






Justeru kembalilah kepada Al-Quran dan Hadis sebagai ubat teragung yang boleh menyembuhkan penyakit yang belum dapat disembuhkan manusia sendiri.






Ya Allah, Ya Tuhan kami, kami bermohon dan berdoa kepadaMU, doa yang berserta ayat-ayat Engkau, dengan berkat kemuliaan dan keagungan kalam Engkau Al-Quran, dengan berkat setiap surah dari Al-Quran, dengan berkat setiap kalimat dari ayat-ayat Al-Quran dan dari berkat yang terkandung dari setiap huruf dari Al-Quran,



Maka lenyaplah sekalian penyakit yang sedang kami deritai/hidapi, lenyaplah sekalian serta bibit-bibitnya dan terhindar kami daripada segala penyakit dan musibah lainnya.



Ampuni sekalian dosa kami dari dunia sampai akhirat.



Jadikanlah kami orang Mukmin yang benar-benar bergantung harap kepadaMu sahaja.



Jadikanlah hidup kami ini sentiasa sihat walafiat, tenteram dan bahagia.



Ya Allah Ya Tuhan kami, rahmat Engkaulah yang kami harapkan, keredhaan Engkaulah yang kami tuntut dalam hidup ini !!!



Amin Ya Robbalalamin...



Friday, May 6, 2011

DOA ORANG YANG TERANIAYA

Doa yang diucapkan oleh seseorang yang teraniaya itu, baik penganiayaan itu bersifat jasmani atau fisikal disakiti badannya, dipukul, dilukai dan diinjak-injak mahupun bersifat rohani atau jiwanya terganggu dicemari namanya atau yang bersifat material dirampas harta bendanya atau kedudukannya secara tidak halal atau adil sehingga hidupnya menderita, terlantar dan ketika disaat itu dia bermohon dan berdoa kepada Allah maka doanya itu sangat makbul ertinya dikabulkan oleh Allah. Apalagi kalau penganiayaan sampai menyengsarakan hidup anak-anak dan isterinya atau keturunannya yang tidak turut bersalah, maka doanya orang yang teraniaya itu akan lebih makbul. Pada suatu ketika nanti orang yang menganiaya itu akan dapat merasa pembalasan Tuhan terhadap dirinya.






Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :-






"Doa orang yang teraniaya itu diangkatkan Tuhan ke langit menembus segala awan dan menembus akan pintu-pintu langit, lalu doa itu diterima langsung oleh Allah dengan berfirman : Demi seluruh kekuasaan yang ada padaKu suatu waktu Aku akan membelamu"






Oleh kerana itu hindarkanlah diri dari membuat aniaya terhadap orang lain siapa jua pun kerana penganiayaan itu sangat dimurkai Allah dan orang yang sudah melakukan penganiayaan pasti tidak akan dibiarkan terlepas begitu sahaja oleh Allah, pasti akan mendapat kutukkan dan balasan siksa dari Allah. Dan barangsiapa yang merasa dirinya teraniaya haruslah berdoa kepada Allah meminta pertolongan dan perlindungan dari kekejaman penganiayaan itu.






Dari zaman dahulukala hingga zaman sekarang yang serba maju dan modern ini penganiayaan-penganiayaan bukan semakin berkurangan malah bertambah. Di dunia sekarang ini makin ramai orang yang teraniaya dalam hidupnya. yang kebanyakan terdiri dari mereka yang lemah, bodoh dan melarat. Disinilah letaknya rahsia mengapa dunia ini tidak sunyi dari malapertaka yang silih berganti. Itu mungkin kutukan dari Allah kerana masih ramai manusia yang teraniaya.






Marilah kita hindarkan diri kita masing-masing dari sifat dan perbuatan menganiaya terhadap mereka yang lemah agar kita dan keturunan kita terhindar dari kutukan Allah.



Friday, March 18, 2011

DZIKRU'LLAH


ZIKIR mempunyai 3 pengertian iaitu ingat, sebut dan ajaran. Yang dimaksudkan dengan kata-kata zikir di kalangan umat Islam ialah ZHIKRULLAH, iaitu mengingat akan Allah menyebut akan Nama Allah, mempelajari dan membaca firman-firman Allah (Kitab Suci Al Qu'ran) .



Ingat adalah pekerjaan hati (akal) semata-mata, sedangkan sebut ialah mengingat dengan menurut-sertakan lidah. mengingat Allah dengan hati atau akal sahaja adalah baik, tetapi dengan menurut-sertakan lidah (sebutan) adalah lebih baik. Bererti mengingat Allah dengan jiwa dan raga bersama-sama.








Seluruh ayat Kitab Suci Al-Qur'an bila kita ingat, sebut atau pelajari, itu adalah zikir. Kita fikirkan atau pelajari kejadian langit dan bumi dan segala isinya, lalu teringat kita kepada Allah yang menciptakan dan yang mengaturkannya, itu adalah zikir. Semua itu dapat kita lakukan sedang duduk, berdiri (bekerja) atau berbaring. Tetapi cara yang paling hebat berzikir itu ialah dengan melakukan solat.








Sembahyang atau solat ialah mengingat Allah dengan cara istimewa, sempurna, sebab solat itu harus dilakukan dengan memenuhi tiga belas rukun, enam syarat dan lebih kurang 20 sunnat-sunnatnya. Bila salah satu dari rukun dan syaratnya terlanggar dalam solat, maka tidaklah sah solat itu.








Allah memerintahkan kita agar kita sebanyak-banyaknya mengingatkan Allah dengan hati, sebanyak-banyaknya pula mengingatkan Allah dengan lisan (kata-kata dan membaca ayat-ayat Al-Qur'an ) dan sebanyak-banyaknya pula melakukan solat yang wajib dan yang sunnat.




Di antara ucapan-ucapan yang sangat besar ertinya bila kita lafazkan ada 5 kalimah, yang kelimanya di dalam Al Qur'an diberi nama "Al-Baqiyaatus Shalihaat" iaitu manfaatnya akan terus-menerus tidak akan putus-putus selamanya. Di dalam hadis, Rasulullah saw menamakan kelima kalimah itu masing-masingnya amat ringan di sebut oleh lidah, tetapi amat berat timbangannya di akhirat nanti.








Kelima kalimah itu adalah yang tersebut di bawah ini:-










1. Alhamdu lillah






Ertinya " Segala puji-pujian untuk Allah" Kalimah ini dinamakan "tahmid" (memuji) Bertahmid ertinya memuji Allah dengan mengucapkan kalimah ini. Iaitu berterima kasih, bersyukur atau berterima kasih kepada Allah.








Dalam sebuah hadis Rasulullah menerangkan bahawa jikalau seluruh harta kekayaan di permukaan bumi ini diserahkan kepada seseorang, lalu orang itu berkata "alhamulillah maka ucapan alhamdulillah itu lebh besar manfaatnya bagi orang itu daripada seluruh harta kekayaan itu. Hadis itu bermaksud:-






"Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang ada padanya diserahkan kepada seseorang dari umat-Ku, lalu ia mengucapkan alhamdulillah, maka ucapan alhamdulillah itu lebih baik dan lebih berharga baginya ( daripada harta yang banyak itu )"






Oleh kerana itu mengucapkan kalimah Alhamdulillah itu amat luar biasa ertinya di sisi Allah, amat besar faedah dan kesan baiknya bagi orang yang mengucapkannya sebagai tanda terima kasih kepada Allah setelah menerima nikmat Allah. Dapatlah kita fahami, jangan sampai kita lupakan betapa besar besar ertinya mengucapkan Alhamdulillah setiap kali sesudah minum dan makan, selesai mengerjakan segala urusan dan sebagainya. Biasakan lah mengucapkan kalimah tahmid ini dalam kehidupan harian kita. Allah pasti senang kepada kita, Allah pasti membalas ucapan kita, didik anak-anak dan cucu-cucu kita sendiri mengucapkan kalimah ini lebih-lebih lagi selepas makan-minum dan terbangun dari tidur.








Hal ini nampak kecil, remeh, ringan tetapi yang sebenarnya amat besar, amat penting, jangan sampai kita remehkan. Akan besar sekali kesan pengaruhnya kepada anak-cucu kita bila mereka sudah besar nanti. Kesannya amat baik kepada akhlaknya, kepada kehidupan hariannya.






2. Allahu Akbar




Ertinya:- "Allah Maha Besar" Kalimah ini dinamakan takbir, ertinya membesarkan Tuhan. Menyebut kalimah ini pun mempunyai erti yang amat besar pada sisi Allah bila kita ucapkan sebagai tanda pengakuan dan kesedaran kita atas kebesaran Allah. Allah yang kita akui Maha Besar itu akan selalu memberikan pertolongan kepada kita yang selalu merasa diri kita lemah untuk mengatasi segala macam kesulitan dan kesusahan yang kita hadapi. Biasakan menyebut kalimah ini dalam hidup kita. Kalimah inilah yang kita lafazkan dalam setiap gerak-geri kita dalam bersolat, lebih-lebih lagi diwaktu hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.




3. Subhanallah




Ertinya :- "Maha Suci Allah". Kalimah ini dinamakan tasbih, ertinya mensucikan Allah. Menyebut kalimah ini bererti kita bertasbih. Mensucikan Allah bererti menjauhkan dan membersihkan diri kita dari anggapan-anggapan yang tidak baik terhadap Allah. Allah Maha Suci bererti Allah tidak lemah, bukan jelek, bukan bodoh, bukan kejam. Apa sahaja kejadian di dunia ini, tidak ada yang menunjukan Allah bodoh, kejam, lemah, salah. Allah Maha Suci dari segala sifat-sifat yang tidak baik itu. Semua yang terjadi itu sekalipun nampaknya jelek, tidak baik tetapi pasti ada guna dan faedahnya bagi manusia. Terjadinya kegagalan itu, agar manusia lebih berhati-hati dan tidak sombong. Orang jatuh sakit agar berhati-hati menjaga kesihatan, jangan ambil mudah semasa masih sihat dan kuat .




Bersihkan diri kita dari perasaan mengeluh terhadap semua kejadian-kejadian yang tidak kita senangi itu, apalagi terang-terangan mengeluh terhadap Allah. Jangan mengeluh kalau hujan terus menerus turun, atau kemarau hujan tidak turun. Tetapi berdoalah agar hujan turun. Ucapkanlah subhanallah sebanyak-banyaknya dalam kehidupan kita dengan diiringi pengertian yang sedalam-dalamnya tentang ertinya kalimah suci tersebut. Jangan asal sekadar dilafazkan sahaja.






4. La Ilaha Illallah





Ertinya "Tiada Tuhan selain Allah" Kalimah ini dinamakan tahlil atau kalimah tauhid, ertinya : Meng-Esa-kan Allah. Kalimah ini menegaskan sejelas-jelasnya bahawa segala patung, semua binatang, semua manusia, bintang itu bukan tuhan, tidak boleh dianggap tuhan dan tidak boleh disembah. Semua itu makhluk ciptaan Allah, tuhan yang satu, yang Esa, yang tunggal. Tiada tuhan lainkan Allah.


Setiap kita mengucapkan kalimah ini dengan penuh pengertian akan tertanamlah di jiwa kita keEsaan Allah (tauhid) dan akan lenyaplah dari sanubari kita perasaan syirik.


Sebahagian orang Islam mengucapkan kalimah tauhid (tahlil) itu bersama-sama, sampai berpuluh atau beratus kali (bertahlil). Itu adalah amat bail andainya dilakukan dengan penuh pengertian dan kesedaran tentang ertinya dengan tujuan agar semua perasaan syirik dan takut kepada selain Allah dapat dilenyapkan dari hati atau perasaan kita.




5. La haula wa la quwwata Illa billah:




Ertinya: "Tiada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan Allah". Semua daya dan semua kekuatan yang ada pada diri seseorang itu pada hakikatnya adalah daya dan kekuatan Allah yang dipinjamkan Allah kepada kita. Kekuatan atau daya itu saban waktu dapat dicabut oleh Allah, sehingga seorang yang mulanya kuat menjadi tidak punya daya dan kekuatan sama sekali apabila seseorang itu jatuh sakit.


Bukan sahaja kekuatan fizikal atau jasmani tetapi kekuatan mental atau rohani, kemampuan berfikir, kepakaran di dalam segala bidang itu semuanya pada hakikatnya adalah kepunyaan Allah yang dipinjamkan Allah kepada siapa-siapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-Nya. Juga bila-bila masa sahaja dapat dicabut oleh Allah.


Kalimah ini menamamkan rasa berserah diri kepada Allah (tawakkal). Perasaan tawakkal yang dianjurkan Islam dengan perantaraan Al-Quran ini adalah perasaan pantang mengalah, pantang berputus asa dalam segala perkara, lebih-lebih dalam perjuangan hidup di dunia fana ini. Meraeka yang tawakkal pantang berputus asa, berjihad terus dalam keadaan apa sekalipun.





Friday, March 11, 2011

TAUHID RUBUBIYYAAH DAN TAUHID ULUHIYYAH


Ugama kita adalah ugama Tauhid. Umat Tauhid etinya satu umat yang tidak mahu bertuhan selain terhadap Allah sahaja. Ugama Tauhid etinya ugama yang mengajarkan tiada Tuhan selain Allah sahaja.




Tetapi harus kita ketahui, bahawa dalam Ilmu Tauhid, pengertian kata Tauhid bukanlah sesederhana itu tetapi mengandung pengertian yang lebih jauh dan lebih dalam.



Didalam banyak ayat Kitab Suci Al-Quran, kita dapati dua kalimah (kata) tentang Tuhan. Pertama kalimah Rabb dan kedua kalimah Ilaah.



Di dalam ayat "Alhamdulillah rabbil alamien" terdapat kalimat Rabb untuk Tuhan sedang dalam ayat "Wailahukum ilahun wahid" terdapat kata Ilaah untuk Tuhan.




Sebab itu oleh ulama-ulama Ilmu Tauhid diklasifikasikan ada 2 jenis Tauhid. Pertama Tauhid Rubiyyah berasal dari kalimah Rabb dan kedua Tauhid Ulluhiyyah berasal dari kalimah Ilaah.




"Rabbul alamien" ertinya Tuhan yang mencipta seluruh alam sebab itu Tauhid Rububiyyah dapat diertikan dengan Tauhid Ciptan. Sedang Ilaah ertinya adalah Tuhan Penyembahan , sebab itu Tauhid Ulluhiyyah ertinya Tauhid Penyembahan.


Rububiyyah dengan makna ijmali (makna yang menyeluruh) ialah mengiktikadkan Allah dengan iktikad yang jazam bahawa Allah Taala adalah mentadbir semua benda dan perkara yang ada di alam dunia ini - tiada pentadbir yang lain melainkan Allah Taala yang Maha Esa dan Maha Kuasa.




Tauhid Rububiyyah ialah pengakuan, bahawa seluruh alam ini baik alam nyata atau alam ghaib dicipta oleh Tuhan yang satu, yang menciptakan bumi, langit, bulan matahari dan bintang. Tuhan yang satu itu jugalah yang mencipta manusia, jin, malaikat dan iblis. Tuhan yang satu itu jugalah yang menghidupkan segala yang hidup. Tuhan yang satu itu jugalah menumbuhkan segala tumbuhan dan tanaman. Tuhan yang satu itu jugalah yang membuat mataku dan membuat mata pembaca semua yang sedang merenung skrin monitor komputer dihadapan anda. Tuhan yang satu yang membikin nyamuk dan kuman yang halus dan Tuhan yang satu itu jugalah yang bikin gajah, gunung dan planet-planet yang besar itu.


Uluhiyah menurut pengertian ahli bahasa ialah "ketuhanan". Dan menurut pengertian ulama tauhid ialah mengiktikadkan dengan iktikad yang jazam bahawa Allah s.w.t adalah tuhan yang berhak disembah, tiada tuhan yang lain selain daripadaNya iaitu Allah.




Tauhid Uluhiyyah ialah bahawa hanya kepada Tuhan yang satu itulah kita menyembah, memuja, meminta pertolongan beribadat dan berzikir. Hanya Tuhan yang satu itulah yang kita sanjung, kita puji dan hanya kepada Tuhan yang satu itulah kita meminta perlindungan dari segala marabahaya dan kecelakaan, kita pohon kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat nanti. Jadi kita tidak boleh bermohon, meminta kepada kubur dan keramat, meminta kepada wali dan malaikat, tidak kepada para ulamak atau bomoh dan dukun yang masih hidup atau yang sudah meninggal.Tidak boleh kepada keris pusaka atau apa sahaja benda-benda lain yang punya kesaktian kononnya.




Jadi Tauhid Rububiyyah dipunyai oleh semua manusia, yang mukmin atau yang kafir, bukan dipunyai oleh binatang-binatang yang tidak berakal dan kayu-kayu atau batu-batu dan segala tunggul mati.




Sedang Tauhid Uluhiyyah dipunyai hanya oleh manusia yang disamping mengakui adanya Tuhan yang menciptakan segala yang ada, juga menundukkan kepala menyembah kepada Allah, beribadat menyembah Allah, berzikir membesarkan Allah, memuji Allah dan mensucikan Allah dan menjalankan segala perintah Allah dengan perantaraan Nabi-Nabi dan kitab-kitab Suci Nya, dengan perantaraan ugamaNya iatu ugama Islam.




Tauhid Rubiyyh tidak bernilai apa-apa kalau tidak disertai dengan Tauhid Uluhiyyah.




Pengakuan bahawa alam ini dicipta seluruhnya oleh Satu Tuhan, tidak mempunyai nilai apa-apa, bila tidak diiringi dengan ibadat serta ketaatan terhadaap Tuhan Yang Satu itu.




Diterangkan dalam satu hadis shahih yang diriwayatkan oleh Muslim dari Mu'az Bin Jabal Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah saw bertanya:




"Tahukah engkau ya Mu'az apa hak Tuhan atas hamba-Nya? Berkata Mu'az; Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu tentang itu. Bersabda Rasulullah; "Hak Tuhan atas hamba-Nya, agar hamba Tuhan menyembah akan Dia dan mereka tidak boleh mempersekutukan Tuhan ( Syirik ) dengan sesuatu yang lain." Berkata lagi Rasulullah; " Tahukah engkau apa pula hak hamba ( manusia ) atas Tuhan bila mereka sudah menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya?" Menjawab Mu'az: " Allah dan Rasul-Nya pula yang lebih tahu tentang itu" Bersabda Rasulullah : Hak mereka atas Tuhan ialah bahawa Tuhan tidak akan menyiksa mereka dengan api neraka"




Berdasarkan hadis ini dan banyak hadis lain, serta banyak ayat Kitab Suci Al-Quran bahawa ulama Ilmu Kalaam (ilmu Tauhid ) sepakat menetapkan bahawa Tauhid Rubbiyyah semata tidak lah memadani, tidak ada nilainya, kalau tidak disertai dengan Tauhid Uluhiyyah.




Berdasarkan penyembahan manusia terhadap Allah yang satu itulah, Allah menjadi senang terhadap mereka. Allah gembira menerima taubat dan keampunan bila mereka minta taubat atau minta keampunan dariNya.




Sebab itu bila manusia ingin agar Allah senang kepada mereka, agar Allah memberi keselamatan dan kebahagiaan dalam hidup mereka di dunia ini dan di akhirat nanti, perbanyakkan lah ibadat terhadap Allah, perbanyakkanlah sanjungan, pujian dan berterima kasih terhadap Allah, perbanyakkanlah takbir dan tasbih iaitu ucapan yang membesarkan dan mensucikn Allah.




Ketahuilah, tidak ada suatu benda atau seorang manusia pun di dunia ini yang dapat mententeramkan jiwa manusia yang gelisah, yang dapat melenyapkan segala rasa sedih dan sengsara batin selain Allah Yang Maha Esa itu.




Sesusah-susah hati dan segundah-gulananya perasaan, bila kita ingat akan Allah, ingat akan kebesaran Allah, ingat akan janji-janji Allah kepada hambaNya yang taat pada ketika itu akan berkuranganlah kesusahan dan kegundahan itu.




Sekali lagi diperingatkan agar kita benar-benar menyembah dan merendahkan diri terhadap Allah dan dengan mengerjakan ibadat yang diperintahkan Allah itu dengan segala keinsafan dan kesedaran, bahkan hanya dengan ibadat itulah kita akan dapat merasakan kelazatan hidup di bawah sinar matahari ini. atau kelazatan hidup di Alam akhirat nanti.




Latihlah diri agar terbiasa mengerjakan ibadat agar tidak ada perasaan malas beribadat agar insaf dan sedar, bahawa beribadat terhadap Allah itulah perbuatan yang setinggi-tingginya dan seagung-agungnya perbuatan di dunia ini, suatu nikmat yang selazat-lazatnya.












Friday, February 18, 2011

SYIRIK ( ii )


Syirik yang nyata ialah bila mana disamping mempercayai Yang Maha Esa ia percaya pula bahawa ada manusia lain sebagai Tuhan atau anak Tuhan, baik manusia itu wali, bomoh atau manusia biasa. Atau sekalipun dia tidak mempercayai manusia sebagai tuhan tetapi memperlakukan seorang manusia sebagai Tuhan, dia takut kepada manusia itu, dia minta keselamatan, kekayaan dan kemewahan kepada manusia itu. Atau kalau dia di timpa kecelakaan atau kesakitan dikatakannya sakit atau kecelakaan itu disebabkan oleh bomah atau dukun itu, kerana tidak menghormatinya dengan mencium tangannya atau sebagainya. Berikhtiar untuk menyembuhkan penyakit dengan bermohon dan berharap hanya kepada bomoh juga merupakan cabang-cabang syirik.


Termasuk syirik yang nyata, syirik besar bila seorang memperlakukan sesuatu benda yang bukan manusia umpamanya kubur, keramat, candi atau patung, keris atau tongkat, diperlakukan sebagai tuhan atau setengah Tuhan. Dia hormat dan puja benda itu seperti menghormati Tuhan. Dia merasa diri rendah dari benda itu. Atau dia meminta keselamatan dan kebahagiaan kepada benda itu.


Termasuk syirik yang tersembunyi yang halus, bila seorang misalnya mengatakan atau mengerjakan sesuatu kerana rasa riak, dia sembahyang karena manusia untuk dipuji oleh orang lain. Kita manusia ini adalah suatu makhluk yang terhormat mempunyai kedudukan yang tinggi kalau di banding dengan makhluk lain kerana mempunyai akal-fikiran dan perasaan. Sebagai makhluk yang terhormat dan tinggi kita tidak diizinkan oleh Allah merendahkan diri terhadap makhluk lain, terhadap kubur, terhadap pokok kayu, terhadap keris dan tongkat yang kononnya mempunyai kesaktian. Jangankan terhadap benda mati, terhadap malaikat sekalipun kita tidak diperbolehkan oleh Allah merendahkan diri, bermohon dan bermunajat kepadanya. Kita hanya boleh menyembah Allah sahaja dan tidak pada yang lain.


Inilah yang dinamakan Tauhid, inilah maksudnya kalimat Tauhid yang berbunyi:- La ilaha ilallaah. Tiada yang boleh aku sembah, aku puja, bermohon atau meminta selain Allah.

Firman Allah Surah Al-Ikhlas ayat 1-4

Yang bermaksud:


"Katakanlah (wahai Muhammad): '(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya"


Aqidah-tauhid mempunyai peranan penting untuk menetapkan keimanan di dalam hati seseorang serta menyakinkan wujud Allah dan mentauhidkan Nya. Orang-orang yang beriman mempercayai dan menyakini wujud Allah dan mentauhidkan Nya, serta mengiktikadkan bahawa Allah Taala bersifat Kamalat (sifat kesempurnaan ) dan Maha Suci dari sifat kekurangan.
Sesudah beriman dengan Allah, sesudah mengakui keEsaan Allah, saban detik dan waktu dari hidup, kita harus berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap bahaya syirik . Bersihkanlah diri dari rasa dan perasaan syirik. Siapa yang menemui akan ajalnya dalam keadaan bersih dari syirik dijamin oleh Allah bahawa dia akan masuk syurga.

Mudah-mudahan kita sekalian termasuk hamba Allah yang bersih dari syirik.

Sunday, February 13, 2011

Bahaya Syirik ( i )


Syirik adalah lawan dari tauhid dimana kepercayaan kita tentang keEsaan Tuhan itu benar-benar kepercayaan yang bersih, kepercayaan yang bulat, penuh seratus peratus. Jangan sampai terjadi karena kelalaian atau kurang pengertian tentang tauhid dengan mudah kita mengakui keEsaan Allah tetapi yang sebenarnya kita masih berada di tingkat masih mempersekutukan Allah.

Ada kemungkinan dengan mulut kita mengakui keEsaan Allah tetapi dalam praktiknya, dalam amalan kehidupan harian, kita memandang berbagai objek atau alam benda "separti Tuhan". Kita puja 'benda' atau 'makhluk lain' itu seperti memuja Tuhan, kita cintai 'benda' atau makhluk itu seperti menyintai Tuhan atau lebih cinta terhadap benda-makhluk tersebut daripada terhadap Tuhan sendiri. Bukan hanya memuja atau mencinta terhadap benda atau makhluk itu tetapi malahan kita meminta, memohon dan bermunajat; kepada benda-benda yang kita anggap sakti atau makhluk yang kita anggap keramat itu, kita minta perlindungan dari berbagai bahaya atau penyakit, kita bermohon kebahagiaan atau kemewahan kepada benda atau makhluk itu.




Perbuatan inilah yang dikatakan dan dinamakan Syirik atau mempersekutukan Tuhan. Satu dosa yang paling berat disamping dosa kufur, satu dosa yang Tuhan sendiri tak dapat memberi keampunan. Satu dosa yang bukan saja menyebabkan orang masuk neraka tetapi satu dosa yang membuat seseorang itu berkekalan selamanya didalam api neraka. A'zubillah.




Oleh kerana itu, kita wajib melindungi diri kita, anak isteri dan kaum keluarga kita dari bahaya syirik ini, dan kita malahan wajib melindungi seluruh umat manusia dari bahaya syirik ini .



Firman Allah dalam Al-Quran Surah An-Nissa' ayat 116



Yang maksudnya:



"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua) dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehndakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya) ; dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua) , maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya"


Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 21 dan 22

Yang maksudnya:



"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya ) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa)"




Firman Allah dalam Surah Luqman ayat 13




Yang maksudnya:




"Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:


"Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar"




Ada syirik yang nyata dan ada pula syirik yang tersembunyi, halus, susah melihat dan mendapatkannya. Ada syirik yang besar dan ada pula syirik yang kecil. Baik syirik nyata atau tersembunyi, baik syirik besar atau kecil semuanya merupakan dosa besar akan menyebabkan seseorang itu masuk neraka dan kekal di dalamnya. Oleh itu kita harus berhati-hati di dalam kehidupan kita agar kita tidak termasuk dalam golongan orang yang syirik.




Berhati-hati menjaga diri dengan memperdalamkan pengetahuan tentang Tuhan (Tauhid).


Sabda Rasullulah saw yang bermaksud:


"Sesiapa yang menemui Allah dalam keadaan bersih dirinya dari syirik masuklah dia ke dalam Syurga dan siapa yang menemui Allah dalam syirik maka masuklah dia ke dalam Neraka"

Monday, February 7, 2011

MENGETUK CINTA MALAM DAN SIANG




Cinta kepada hartabenda, atau cinta terhadap kekasih, begitu juga cinta terhadap tanahair, dan cinta terhadap semua itu adalah cinta kecil-kecilan. Adapun cinta terhadap Allah adalah cinta besar, cinta agung, cinta suci.


Kita mungkin sudah pernah merasakan enaknya bercinta terhadap kekasih atau sebagainya. Kita mungkin pernah merasa asyik atau mesranya tetapi bila kita telah mengenal Allah dan jatuh cinta terhadap Allah, kita akan merasakan kelazatan dan keenakannya, akan merasakan keasyikkan dan kemesraannya jauh lebih asyik dan mesra dari cinta yang lain itu .


Ayat-ayat yang tersebut di bawah ini insyaAllah akan mengetuk hati sanubari kita untuk mengenal dan mencintai terhadap Allah SWT.


Surah Al-An'aam ayat 96

Ertinya:


" Allah jua yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar) dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya) Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Mha Mengetahui."


Pernahkah kita merenungkan, apakah yang akan terjadi terhadap diri kita dan alam yang luas ini andaikata tuhan tidak menjadikan malam dan siang? Apakah yang akan terjadi atas diri kita bila Tuhan menjadikan malam berterusan tanpa siang? Dan apakah pula andai dijadikan siang selamanya tanpa malam?


Kerosakan demi kerosakan, sekali lagi kerosakanlah yang akan terjadi atas diri tiap makhluk dan terhadap alam ini seluruhnya bila malam berterusan tanpa siang ataupun siang berterusan tanpa malam.


Makluk apa sahaja pun tidak akan tahan untuk hidup dibawah sinaran mentari berterusan. makhluk apa sahaja pun tidak akan tahan andai tidak mendapat sinaran mentari. Makhluk apa sahaja pun tidak akan hidup, andai selamanya dalam kelam yang hitam dan gelap terus menerus. Alangkah besarnya nikmat Allah bagi makhluknya yang hidup, diputarNya bumi di sekeliling matahari, diputarNya bulan di keliling bumi sehingga terjadi malam dan siang.


Surah Alqasas ayat 71-73:

Ertinya:

"Katakanlah; Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawa cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?

"Katakanlah lagi : Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawa malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?'

"Dan di antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu dapat berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur"


Sepenat atau seletih manapun kita bekerja di siang hari, bila malam sudah tiba, kita akan tidur dan paginya kita bangun dengan kekuatan baru dan segar bugar untuk dapat bekerja semula mencari rezeki.


Perjalanan matahari dan bulan bukan hanya untuk membuatkan adanya malam dan siang, tetapi ada lagi maksud lebih tinggi iaitu untuk dijadikan perhitungan. Satu, dua dan tiga dan seterusnya minit, jam, hari dan minggu, bulan dan tahun dan seterusnya. Begitu juga meter, kilo dan liter, semuanya itu adalah perkiraan, semua itu adalah ukuran. Semua kemajuan apa juga yang terjadi didunia ini adalah karena adanya perkiraan dan ukuran itu . Dan semua perkiraan dan ukuran itu berasal dari perjalanan matahari , bulan dan bumi.


Zalika taqdirul azizil aliem, semua ketentuan, perkiraan dan ukuran itu adalah dari Tuhan Yang Maha Kuasa. Yang Maha Mengetahui.


Marilah kita sekalian bersama beriman kepada Allah. Jangan ada di antara kita yang tidak percaya kepada Allah, atau yang setengah percaya atau yang setengah kufur terhadap Allah. Na'uzu Billah.

Monday, January 31, 2011

KEPERCAYAN KEPADA ALLAH






Rukun Iman yang pertama ialah kepercayaan atau keimanan kepada Allah (Al-Imananu bilah) iaitu tulang belakang keimanan, sumber segala macam kepercayaan dalam agama Islam. Bila kepercayan kepada Allah ini lemah, maka akan lemahlah segala segi keagamaan seseorang itu.

Beriman dengan kewujudan Allah merupakan hubungan kuat dan pertalian yang kukuh diantara Khaliq dengan makhluk (di antara Allah dengan manusia) dimana manusia adalah makhluk Allah yang paling mulia di dalam alam dunia ini sedang semulia-mulia benda ada didalam tubuh manusia adalah hati, dan semulia-mulia sifat yang ada didalam hati itu adalah keimanan.

Manusia berakal dan mempunyai kesanggupan mempergunakan akal dan fikirannya, akan taksub memperhatikan alangkah luasnya alam semesta. Bumi, matahari, berjuta-juta bintang-bintang dan planet-planetnya berjalan dengan teratur di angkasaraya sehingga menyebabkan hidup dan kehidupan yang teratur pula pada segala makluk yang hidup, adalah semua itu perkara-perkara besar yang tidak dapat melintas begitu sahaja di hadapan akal fikiran manusia sebagaimana melintasnya seekor nyamuk kecil di hadapan mata. Semua itu adalah masalah maha besar yang menggerakkan fikiran manusia yang sanggup mempergunakan akal.....

Bila pemikiran demikian diteruskan dan tiada terhentinya, tidak terhalang oleh manusia berbagai rupa benda atau penghalang, pasti pemikiran demikian mendesak timbulnya pertanyaan: Siapakah yang menciptakan itu semua? Siapakah yang mengatur itu semua ? Tidaklah mungkin bila semua itu terjadi dengan sendirinya sahaja. Bumi, matahari akan teratur dengan sendirinya sahaja. Jangankan bumi dan matahari serta berjuta-juta bintang yang besar dan luas, sebiji pasir dan sehelai bulu hidung yang amat halus sahaja, tidak mungkin akan terjadi dengan sendirinya....

Jadi..... semua itu pasti ada yang menciptakannya. Pasti ada yang mengaturnya. Pasti yang mencipta itu bukan sesuatu yang ada didalam fikiran kita manusia. Yang menciptakan itu pasti suatu ZAT. Yang Maha Besar dan Maha Agung jauh lebih besar dari bumi, bulan dan matahari itu sendiri hingga tak tercapai akal fikiran manusia. Ya ZAT yang menciptakan dan mengatur segala yang ada inilah yang dinamakan Allah Yang Maha Besar. ALLAHU AKBAR.

Monday, January 24, 2011

SEPOHON KAYU

Bismillahirrahmannirrahim

Cuba kita renungkan pada sepohan kayu.Ianya ada dua bahagian. Bahagian yang dipermukaan bumi menjulang kelangit yang dinamakan batang berserta rimbunan daun-daun hijau dihujung ranting-ranting dahannya. Didalam tanah terjunam masuk ke perut bumi pula bahagian akar yang banyak sekali, ada yang besar dan panjang, dan ada pula yang halus seperti rambut dan pendek.

Islam juga mempunyai dua bahagian ibarat sepohon kayu itu. Yang kelihatan dan tidak. Yang kelihatan pada zahirnya adalah rukun Islam yang lima itu dan pada batinnya atau pada kepercayaannya ( rukun iman) . Pekerjaan otak dan fikiran semata-semata. Banyak yang harus dipercayai oleh orang Islam tetapi yang pokok hanya enam perkara.

Setiap orang Islam, otak dan fikirannya harus yakin dan percaya sepenuh-penuhnya 6 perkara tersebut:


1. Percaya tentang adanya Tuhan yang menciptakan seluruh alam.


2. Percaya tentang adanya Malaikat, makhluk ghaib yang selalu menjaga alam ini.


3. Mempercayai semua Rasul yang diutus Allah kepada manusia untuk mengajarkan agama yang benar .


4. Mempercayai semua kitab suci Allah yang diturunkan kepada Rasul-Rasul itu.


5. Percaya bahawa semua manusia yang sudah mati akan dihidupkan kembali di Alam Akhirat, hidup yang kekal dan abadi, dimana semua perbuatan manusia selama hidup di dunia diperhitungkan dan di balas dengan balasan yang setimpal.


6. Percaya terhadap Qadha dan Qadhar, iaitu bahawa semua apa yang terjadi itu adalah dengan kekuasaan Allah semata.



Disamping Rukun Iman yang 6 perkara tersebut diatas ini, setiap orang Islam di dalam hidupnya harus menjalankan atau melakukan 5 perkara yang tersebut dibawah ini yang dinamakan Rukun Islam iaitu:-


1. Mengucap dua kalimat syahadat, iaitu:

"Asyhadu-an-la-ilaha--illallaah wa-asy hadu anna Muhammadan Rasulullah"

Ertinya:

"Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah"


2. Mengerjakan Solat (sembahyang) 5 waktu sehari semalam.


3. Mengerjakan puasa di bulan Ramadhan


4. Mengeluarkan zakat harta setelah sampai nisabnya sekali setahun.


5. Mengerjakan ibadah Haji ke Mekah sekali seumur hidup bagi yang mampu.



Islam ibarat sepohon kayu. Rukun Iman sebagai akar tunjang dan Rukun Islam sebagai batang, dahan dan ranting. Dengan mudah dapatlah kita mengerti bahawa Rukun Iman mempunyai kedudukan yang jauh lebih penting dari Rukun Islam.

Bila akar tunjangnya tidak hdup, tidak kuat, tidak terjunam jauh ke perut bumi atau akar itu tidak mendapatkan tanah yang subur maka akibatnya pokok kayu akan hidup bagaikan mati. Ataupun kalau terus hidup akan kelihatan batang, dahan dan ranting tidak subur. Bila ia berdaun atau berbunga, daun dan bunganya mudah berguguran bila ditiup angin walupun sedikit sahaja. Dan tak ada bunganya yang menjadi buah. Jadi akar kayu yang tidak kuat atau tidak dapat baja menyebabkan batang kayu tidak berbuah dan tak berguna.

Begitu pulalah keadaan seseorang Islam yang tidak beriman atau lemah imannya kerana tidak dipupuk dan dipelihara ugamanya, akan merana tidak ada usaha dan kegiatan padanya untuk melakukan ibadah yang dinamakan Rukun Islam yang lima. Orang yang berugama Islam yang tidak melakukan ibadah maka ugamanya ibarat pokok kayu yang tak berbuah.

Jadi bila kita dapati sekarang ramai umat Islam yang meninggalkan solat lima waktu, tidak mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, tidak mengeluarkan zakat harta sekali setahun sekalipun dia orang kaya atau jutawan, tidak mengerjakan ibadat haji sekalipun mampu dan berupaya, apalagi kalau ada orang Islam yang rusak budi pekertinya, itu semuanya adalah karena lenyap atau lemahnya keimanan di dada mereka.Tidak ada usaha yang harus dilakukan terhadap mereka selain usaha-usaha yang memperkukuhkan keimanan itu ,iaitu usaha memupuk dan menyuburkan keimanan itu.

Wednesday, October 7, 2009

KISAH DAM AJI....

Samat baru sahaja berkahwin. Kerana tidak mempunyai rumah, terpaksa dia menumpang di rumah bapa mertuanya...
Malangnya, ada sesuatu yang tidak kena. Samat ni kuat sangat makan. Bapa mertuanya selalu merungut. Beras 20kg, tak sampai seminggu dah habis. Selalu tak macam ini. Sejak Samat duduk di rumahnya... cepat sangat barang-barang dapur habis. Samat betul-betul 'menghabiskan borehhh...'

Kebaikan Samat pula ialah, dia ni alim sikit. Tak pernah tinggal sembahyang. Malangnya bapa mertuanya tak pulak begitu... Waktu maghrib seronok tengok TV ... lepas tu sambung tengok berita... lepas tu makan... lepas tu tidur.. esok bangun pukul 8... pergi kedai kopi... bersembang, sampai tengahari.

Balik makan, kemudian tidur... petang pergi kedai kopi lagi... main dam, berborak mengalahkan orang politik.Kerana sama-sama ada kekurangan ni lah yang menyebabkan si menantu tak berani menasihati bapa mertua, dan bapa mertua tak berani memarahi anak menantu yang kuat makan. Tetapi dia terus mencari idea... macam mana nak kenakan si Samat ni.. Bengang betul dia... dah lah tak kerja...melantak kuat pulak tu...

Suatu hari dia dapat idea... nak kenakan Samat.. "Samat, mari kita main dam haji..." katanya kepada Samat... "Boleh juga..." kata Samat tanpa mengesyaki sesuatu.

Bila sahaja bermain, dia sengaja membiarkan buah damnya dimakan oleh Samat... Dia hulur, Samat makan, hulur lagi... Samat makan lagi... hulur lagi makan lagi, dan lagi... dan lagi...

"Eh ko ni Samat... kuat betul makan laa... agak-agak laa..." katanya tersenyum..

"Alamak bapak mertua aku ni perli aku ni... mentang-mentang aku kuat makan.." fikirnya dalam hati... tapi tak apa...

Mereka bermain set kedua... bapa mertuanya hulur... dia tak makan... hulur lagi, tak makan juga... kena tangkap... tak macam set pertama... dia dah bijak sikit...

Bila tak makan, mestilah kena tangkap...(sesiapa tak tahu main dam haji tentu tak faham cerita ini...) kemudian bapa mertuanya dapat melangkah hingga ke haji...

Apa lagi....

"Ehh orang tak pernah sembahyang pun boleh pergi haji ke...?"

Merah padam muka bapa mertuanya... dia nak perli anak menantunya, tetapi dia yang terkena....

Selepas dari itu, Samat tak lagi kuat makan dan bapa mertuanya dah jadi alim... tak tinggal sembahyang lagi... sekarang ni ada kat Mekah kerjakan umrah... Nak pergi haji belum sampai seru... katanya laa..

Thursday, October 1, 2009

CERITA MALAM JUMAAT



sekadar gurauan..
kalau da nk bace quran tu teruskan larh..
bkn bini xleh tunggu yer dakk..

Malam itu malam Jumaat. Kassim ingin beristirahat awal bersama isterinya, dia fikir dia akan dapat banyak ganjaran jika berbuat begini. Ganjaran paling nyata ialah hakikat dia kini sudah mempunyai lapan orang anak: empat daripada mereka masih kecil lagi. Yang bongsu masih lagi menyusu.

"Malam ini kita tidur awal. Malam jumaat" kata Kasim pada Ani, isterinya yang sedang menyusu anak bongsu mereka.

"Tak boleh bang. Sebab anak anak kita masih belum tidur, nanti saya
tidurkan mereka dulu."

"Baiklah awak uruskan mereka. Abang akan ke bilik sebelah membaca Al-quran"

balas Kassim, sambil ke bilik air mengambil wudhuk, setelah mendapatkan songkok. Kitab al-quran dan meminum seteguk air sejuk Kassim bersedia untuk memulakan kerja ibadahnya?

"BISMILLAHHIRROHMANNIRROHIM"

"Bang!! Anak dah tidur" Terkejut Kassim mendengar suara Ani yang membawa khabar baik kepadannya dalam jangkamasa yang begitu singkat.

" SODAQALLAHULAZEEM "

Tu la dahsyatnya malam Jumaat




Sunday, September 6, 2009

RAHSIA PUASA


Sebesar-besar nikmat yang pernah dikurnia Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan puasa itu benteng bagi para wali, dan perlindungan bagi mereka dari tipuya syaitan dan angan-angannya, sebagaimana Rasullah s.a.w pernah bersabda:


" Puasa itu separuh kesabaran"


Adapun rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya semuanya ada enam iaitu:


1) Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingat kepada Allah.


2) Memelihara lidah dari omong kosong, bohong, mencaci-maki bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya'.


3) Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya


"Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram"


4) Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki,dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikin pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunannya berpuasa dari memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota.


Rasulullah s.a.w bersabda: "Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu, selain lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala)."

Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya (berpuasa) dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci-maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikan dengan orang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.


5) Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun dari makanan yang halal sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah swt daripada perut yang penuh dari makanan halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menetang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat, kiranya apa dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencahnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam-macam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya. Sebagaimana yang termaklum bahawa maksud berpuasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat dan sehingga perut kekenyangan tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul dari syahwat pula keinginan yang baru yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap pada kebiasannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya dalah untuk melemahkan kemahuan dn keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kajahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan maka terlindung dari kerajaan langit.


6) Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harapan kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah sehingga tergolonglah ia ke dalam puak mugarrabin (hampir kepada Allah ) ataupun puasanya tertolak maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat Allah Ta'ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta'ala.

Sunday, August 30, 2009

Kewajiban-kewajiban lahiriah puasa







Adapun kewajiban lahiriah puasa enam perkara




1) Meneliti datangnya permulaan bulan Rmadhan dengan rukyah iaitu dengan melihat anak bulan. Jika tiada terlihat maka genapkanlah bulan Sya'ban 30 hari. Kami maksudkan rukyah atau melihat itu mestilah melalui ilmu pengetahuan dan ini dpat disahkan dengan penyaksian seorang adl (orang yang terkenal lurus perjlnannya dan tiada diragui boleh berbohong. Di samping itu ada lain-lain syarat yang tertentu) . Ini kalau untuk penyaksian masuknya Ramadhan. Tetapi untuk penyaksian Syawal atau anak bulan syawal dihukumkan tidak sah melainkan dengan dua orng orang saksi adl mengambil hukum yang lebih berat untuk menyempurnakan ibadat puasa. Barang siapa mendengar seorang adl dan dia percaya dengan yakin apa yang disaksikannya tentang anak bulan itu tanpa ada apa-apa keraguan lagi bagi dirinya maka wajiblah dia berpuasa mestipun kadhi atau hakim tiada menghukumkan sah penyaksiannya itu.




2) Niat puasa pada setiap malam mestilah dia berniat niat yang khas dan tetap bagi kefarduan puasa kerana Allah Ta'ala.




3) Menahan diri dari menyampaikan sesuatu benda ke dalam perutnya dengan sengaja tidak terlupakan dirinya berpuasa. Kalau dilakukan yang demikian maka rosaklah pusanya; iaitu dengan makan atau minum, memasukkan sesuatu melalui lubang hidung atau dubur. Tidak batal dengan bersuntik, berbekam, bercelak, memasukkan pembersih ke dalam teliga atau melalui zakar ataupun apa yang sampai ke perut tanpa di sengajakan seperti debu jalan ataupun seekor lalat termasuk kedalam perutnya. Kalau air masuk ke dalam perut disebabkan berkumur-kumur tidak membatalkan puasa kecuali jika dia terlalu kerap dan banyak berkumur-kumur maka perbuatan serupa itu membatalkan disebakan kecuaian. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan dengan sengaja. Adapun perkataan tidak terlupa dimaksudkan supaya ia terselamat dari lupa kiranya ia terlupa maka tidaklah dikira puasanya.




4) Menahan diri dari persetubuhan tetapi kiranya dia bersetubuh dengan terlupa maka tiadalah dikira telah berbuka. Kiranya dia bersetubuh di sebelah malam ataupun dia bermimpi sehingga dia menjadi seorang yang junub di sebelah paginya maka tiadalah ia dikirakan berbuka.




5) Menahan diri dari berbaring-baringan dengan isteri sehingga mengeluarkan air mani dengan tujuan untuk bersetubuh ataupun tidak bersetubuh sebab kelakuan yang demikin itu adalah membatalkan puasa. Dan bercium-ciuman dengan isteri atau bercumbu-cumbuan dengannya tiada membatalkan puasa selagi tiada mengeluarkan mani tetapi perbuatan semacam itu adalah makruh hukumnya kecuali jika dia seorang yang sudah tua atau orang yang dapat menguasai dirinya (tidak takut keluar mani) maka bolehlah dia bercium-ciuman. Walau bagaimanapun meninggalkan kelakuan serupa ini adalah lebih utama.




6) Menahan diri dari muntah sebab sengaja mengeluarkan muntah dari perutnya membatalkan puasa tetapi kalau termuntah dengan tidak sengaja maka tidaklah batal puasanya. Dan sekiranyanya tertelan kahak dari kerongkongannya atau dari dadanya tiadalah batal puasanya kerana keringannan sebab tidak dapat ditahan melainkan kalau dia menelannya sesudah kahak itu sampai di tengah mulutnya maka hal itu akan membatalkan puasanya.


Saturday, August 29, 2009

Tip murah rezeki




Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:



1. Menyempatkan diri beribadah
Allah
tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:



“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)



2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah
, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:



“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)



3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah
jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:



“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)



4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah
buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:



“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)



5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:



“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)



Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:



“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki Allah ") daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)



6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:



“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)



7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah
lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:



“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)



8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.



9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:



“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”



10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.



11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:



“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)



12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah
(SWT). Baginda s.a.w. bersabda:



“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)



13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah
dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:



“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)



14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
.



15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah
dalam hadis qudsi:



“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)



16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah
. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:



“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)



17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.



Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.



Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.



18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah
, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.



19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah
berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)



Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.



20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah
. Firman-Nya:



“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)



Nabi s.a.w. bersabda:



“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)



Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)



Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.