Friday, March 11, 2011

TAUHID RUBUBIYYAAH DAN TAUHID ULUHIYYAH


Ugama kita adalah ugama Tauhid. Umat Tauhid etinya satu umat yang tidak mahu bertuhan selain terhadap Allah sahaja. Ugama Tauhid etinya ugama yang mengajarkan tiada Tuhan selain Allah sahaja.




Tetapi harus kita ketahui, bahawa dalam Ilmu Tauhid, pengertian kata Tauhid bukanlah sesederhana itu tetapi mengandung pengertian yang lebih jauh dan lebih dalam.



Didalam banyak ayat Kitab Suci Al-Quran, kita dapati dua kalimah (kata) tentang Tuhan. Pertama kalimah Rabb dan kedua kalimah Ilaah.



Di dalam ayat "Alhamdulillah rabbil alamien" terdapat kalimat Rabb untuk Tuhan sedang dalam ayat "Wailahukum ilahun wahid" terdapat kata Ilaah untuk Tuhan.




Sebab itu oleh ulama-ulama Ilmu Tauhid diklasifikasikan ada 2 jenis Tauhid. Pertama Tauhid Rubiyyah berasal dari kalimah Rabb dan kedua Tauhid Ulluhiyyah berasal dari kalimah Ilaah.




"Rabbul alamien" ertinya Tuhan yang mencipta seluruh alam sebab itu Tauhid Rububiyyah dapat diertikan dengan Tauhid Ciptan. Sedang Ilaah ertinya adalah Tuhan Penyembahan , sebab itu Tauhid Ulluhiyyah ertinya Tauhid Penyembahan.


Rububiyyah dengan makna ijmali (makna yang menyeluruh) ialah mengiktikadkan Allah dengan iktikad yang jazam bahawa Allah Taala adalah mentadbir semua benda dan perkara yang ada di alam dunia ini - tiada pentadbir yang lain melainkan Allah Taala yang Maha Esa dan Maha Kuasa.




Tauhid Rububiyyah ialah pengakuan, bahawa seluruh alam ini baik alam nyata atau alam ghaib dicipta oleh Tuhan yang satu, yang menciptakan bumi, langit, bulan matahari dan bintang. Tuhan yang satu itu jugalah yang mencipta manusia, jin, malaikat dan iblis. Tuhan yang satu itu jugalah yang menghidupkan segala yang hidup. Tuhan yang satu itu jugalah menumbuhkan segala tumbuhan dan tanaman. Tuhan yang satu itu jugalah yang membuat mataku dan membuat mata pembaca semua yang sedang merenung skrin monitor komputer dihadapan anda. Tuhan yang satu yang membikin nyamuk dan kuman yang halus dan Tuhan yang satu itu jugalah yang bikin gajah, gunung dan planet-planet yang besar itu.


Uluhiyah menurut pengertian ahli bahasa ialah "ketuhanan". Dan menurut pengertian ulama tauhid ialah mengiktikadkan dengan iktikad yang jazam bahawa Allah s.w.t adalah tuhan yang berhak disembah, tiada tuhan yang lain selain daripadaNya iaitu Allah.




Tauhid Uluhiyyah ialah bahawa hanya kepada Tuhan yang satu itulah kita menyembah, memuja, meminta pertolongan beribadat dan berzikir. Hanya Tuhan yang satu itulah yang kita sanjung, kita puji dan hanya kepada Tuhan yang satu itulah kita meminta perlindungan dari segala marabahaya dan kecelakaan, kita pohon kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat nanti. Jadi kita tidak boleh bermohon, meminta kepada kubur dan keramat, meminta kepada wali dan malaikat, tidak kepada para ulamak atau bomoh dan dukun yang masih hidup atau yang sudah meninggal.Tidak boleh kepada keris pusaka atau apa sahaja benda-benda lain yang punya kesaktian kononnya.




Jadi Tauhid Rububiyyah dipunyai oleh semua manusia, yang mukmin atau yang kafir, bukan dipunyai oleh binatang-binatang yang tidak berakal dan kayu-kayu atau batu-batu dan segala tunggul mati.




Sedang Tauhid Uluhiyyah dipunyai hanya oleh manusia yang disamping mengakui adanya Tuhan yang menciptakan segala yang ada, juga menundukkan kepala menyembah kepada Allah, beribadat menyembah Allah, berzikir membesarkan Allah, memuji Allah dan mensucikan Allah dan menjalankan segala perintah Allah dengan perantaraan Nabi-Nabi dan kitab-kitab Suci Nya, dengan perantaraan ugamaNya iatu ugama Islam.




Tauhid Rubiyyh tidak bernilai apa-apa kalau tidak disertai dengan Tauhid Uluhiyyah.




Pengakuan bahawa alam ini dicipta seluruhnya oleh Satu Tuhan, tidak mempunyai nilai apa-apa, bila tidak diiringi dengan ibadat serta ketaatan terhadaap Tuhan Yang Satu itu.




Diterangkan dalam satu hadis shahih yang diriwayatkan oleh Muslim dari Mu'az Bin Jabal Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah saw bertanya:




"Tahukah engkau ya Mu'az apa hak Tuhan atas hamba-Nya? Berkata Mu'az; Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu tentang itu. Bersabda Rasulullah; "Hak Tuhan atas hamba-Nya, agar hamba Tuhan menyembah akan Dia dan mereka tidak boleh mempersekutukan Tuhan ( Syirik ) dengan sesuatu yang lain." Berkata lagi Rasulullah; " Tahukah engkau apa pula hak hamba ( manusia ) atas Tuhan bila mereka sudah menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya?" Menjawab Mu'az: " Allah dan Rasul-Nya pula yang lebih tahu tentang itu" Bersabda Rasulullah : Hak mereka atas Tuhan ialah bahawa Tuhan tidak akan menyiksa mereka dengan api neraka"




Berdasarkan hadis ini dan banyak hadis lain, serta banyak ayat Kitab Suci Al-Quran bahawa ulama Ilmu Kalaam (ilmu Tauhid ) sepakat menetapkan bahawa Tauhid Rubbiyyah semata tidak lah memadani, tidak ada nilainya, kalau tidak disertai dengan Tauhid Uluhiyyah.




Berdasarkan penyembahan manusia terhadap Allah yang satu itulah, Allah menjadi senang terhadap mereka. Allah gembira menerima taubat dan keampunan bila mereka minta taubat atau minta keampunan dariNya.




Sebab itu bila manusia ingin agar Allah senang kepada mereka, agar Allah memberi keselamatan dan kebahagiaan dalam hidup mereka di dunia ini dan di akhirat nanti, perbanyakkan lah ibadat terhadap Allah, perbanyakkanlah sanjungan, pujian dan berterima kasih terhadap Allah, perbanyakkanlah takbir dan tasbih iaitu ucapan yang membesarkan dan mensucikn Allah.




Ketahuilah, tidak ada suatu benda atau seorang manusia pun di dunia ini yang dapat mententeramkan jiwa manusia yang gelisah, yang dapat melenyapkan segala rasa sedih dan sengsara batin selain Allah Yang Maha Esa itu.




Sesusah-susah hati dan segundah-gulananya perasaan, bila kita ingat akan Allah, ingat akan kebesaran Allah, ingat akan janji-janji Allah kepada hambaNya yang taat pada ketika itu akan berkuranganlah kesusahan dan kegundahan itu.




Sekali lagi diperingatkan agar kita benar-benar menyembah dan merendahkan diri terhadap Allah dan dengan mengerjakan ibadat yang diperintahkan Allah itu dengan segala keinsafan dan kesedaran, bahkan hanya dengan ibadat itulah kita akan dapat merasakan kelazatan hidup di bawah sinar matahari ini. atau kelazatan hidup di Alam akhirat nanti.




Latihlah diri agar terbiasa mengerjakan ibadat agar tidak ada perasaan malas beribadat agar insaf dan sedar, bahawa beribadat terhadap Allah itulah perbuatan yang setinggi-tingginya dan seagung-agungnya perbuatan di dunia ini, suatu nikmat yang selazat-lazatnya.












No comments:

Post a Comment