Sebesar-besar nikmat yang pernah dikurnia Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan puasa itu benteng bagi para wali, dan perlindungan bagi mereka dari tipuya syaitan dan angan-angannya, sebagaimana Rasullah s.a.w pernah bersabda:
" Puasa itu separuh kesabaran"
Adapun rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya semuanya ada enam iaitu:
1) Memejamkan mata dan menahannya dari meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingat kepada Allah.
2) Memelihara lidah dari omong kosong, bohong, mencaci-maki bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya'.
3) Memelihara pendengaran dari mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya
"Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram"
4) Memelihara seluruh anggota yang lain dari membuat dosa seperti tangan dan kaki,dan memeliharanya juga dari segala yang dibenci. Demikin pula menahan perut dari memakan barang-barang yang bersyubhat waktu berbuka puasa. Apalah gunannya berpuasa dari memakan makanan yang haram. Orang berpuasa seperti ini, samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota.
Rasulullah s.a.w bersabda: "Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu, selain lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala)."
Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan orang itu ialah orang yang menahan dirinya (berpuasa) dari makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci-maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengertikan dengan orang tiada memelihara anggota-anggotanya dari dosa.
5) Janganlah dia membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun dari makanan yang halal sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah swt daripada perut yang penuh dari makanan halal. Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menetang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat, kiranya apa dilakukan oleh orang yang berpuasa waktu berbuka itu ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencahnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam-macam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan sebelumnya. Sebagaimana yang termaklum bahawa maksud berpuasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat dan sehingga perut kekenyangan tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul dari syahwat pula keinginan yang baru yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya mungkin ia tetap pada kebiasannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahsianya dalah untuk melemahkan kemahuan dn keinginan, yang digunakan oleh syaitan sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kajahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan maka terlindung dari kerajaan langit.
6) Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harapan kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah sehingga tergolonglah ia ke dalam puak mugarrabin (hampir kepada Allah ) ataupun puasanya tertolak maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh dari rahmat Allah Ta'ala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Ta'ala.
No comments:
Post a Comment