Friday, February 18, 2011

SYIRIK ( ii )


Syirik yang nyata ialah bila mana disamping mempercayai Yang Maha Esa ia percaya pula bahawa ada manusia lain sebagai Tuhan atau anak Tuhan, baik manusia itu wali, bomoh atau manusia biasa. Atau sekalipun dia tidak mempercayai manusia sebagai tuhan tetapi memperlakukan seorang manusia sebagai Tuhan, dia takut kepada manusia itu, dia minta keselamatan, kekayaan dan kemewahan kepada manusia itu. Atau kalau dia di timpa kecelakaan atau kesakitan dikatakannya sakit atau kecelakaan itu disebabkan oleh bomah atau dukun itu, kerana tidak menghormatinya dengan mencium tangannya atau sebagainya. Berikhtiar untuk menyembuhkan penyakit dengan bermohon dan berharap hanya kepada bomoh juga merupakan cabang-cabang syirik.


Termasuk syirik yang nyata, syirik besar bila seorang memperlakukan sesuatu benda yang bukan manusia umpamanya kubur, keramat, candi atau patung, keris atau tongkat, diperlakukan sebagai tuhan atau setengah Tuhan. Dia hormat dan puja benda itu seperti menghormati Tuhan. Dia merasa diri rendah dari benda itu. Atau dia meminta keselamatan dan kebahagiaan kepada benda itu.


Termasuk syirik yang tersembunyi yang halus, bila seorang misalnya mengatakan atau mengerjakan sesuatu kerana rasa riak, dia sembahyang karena manusia untuk dipuji oleh orang lain. Kita manusia ini adalah suatu makhluk yang terhormat mempunyai kedudukan yang tinggi kalau di banding dengan makhluk lain kerana mempunyai akal-fikiran dan perasaan. Sebagai makhluk yang terhormat dan tinggi kita tidak diizinkan oleh Allah merendahkan diri terhadap makhluk lain, terhadap kubur, terhadap pokok kayu, terhadap keris dan tongkat yang kononnya mempunyai kesaktian. Jangankan terhadap benda mati, terhadap malaikat sekalipun kita tidak diperbolehkan oleh Allah merendahkan diri, bermohon dan bermunajat kepadanya. Kita hanya boleh menyembah Allah sahaja dan tidak pada yang lain.


Inilah yang dinamakan Tauhid, inilah maksudnya kalimat Tauhid yang berbunyi:- La ilaha ilallaah. Tiada yang boleh aku sembah, aku puja, bermohon atau meminta selain Allah.

Firman Allah Surah Al-Ikhlas ayat 1-4

Yang bermaksud:


"Katakanlah (wahai Muhammad): '(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara denganNya"


Aqidah-tauhid mempunyai peranan penting untuk menetapkan keimanan di dalam hati seseorang serta menyakinkan wujud Allah dan mentauhidkan Nya. Orang-orang yang beriman mempercayai dan menyakini wujud Allah dan mentauhidkan Nya, serta mengiktikadkan bahawa Allah Taala bersifat Kamalat (sifat kesempurnaan ) dan Maha Suci dari sifat kekurangan.
Sesudah beriman dengan Allah, sesudah mengakui keEsaan Allah, saban detik dan waktu dari hidup, kita harus berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap bahaya syirik . Bersihkanlah diri dari rasa dan perasaan syirik. Siapa yang menemui akan ajalnya dalam keadaan bersih dari syirik dijamin oleh Allah bahawa dia akan masuk syurga.

Mudah-mudahan kita sekalian termasuk hamba Allah yang bersih dari syirik.

No comments:

Post a Comment