Friday, March 25, 2011

ZIKIR (ii)


Berzikir ertinya menyebut dan mengingatkan Allah. Memuji dan mengagungkan Allah sambil bermohon kepadaNya. Allah amat senang namaNya disebut, di ingat dan diagungkan. Allah amat senang terhadap manusia dan hamba-haambaNya yang di dalam kehidupannya, disamping berusaha mencari kesenangan hidup juga berusaha mencari kesempatan dalam waktu-waktu tertentu untuk mengingatkan dan menyebut-nyebut nama Allah, mengagungkan atau memuji Allah yang mencipta seluruh hartabenda yang dicari dan diperolehi manusia itu.




Disebalik itu Allah sangat benci dan murka terhadap manusia yang selama hidupnya hanya mengingat dan menyebut hartabenda sahaja, tidak pernah menyebut dan mengingat Allah, Tuhan yang menciptakan segala harta kekayaan itu.




Cubalah kita fikirkan dengan tenang: Bolehkah kita manusia bila begitu mengagumi, menghormati dan menghargai sebuah lukisan kerana keindahannya, tetapi kita tidak menghargai sama sekali terhadap pelukisnya? Bolehkah kalau seorang jejaka begitu mennyintai, kasih terhadap seorang gadis yang menjadi jantung hati, pujaan dan kekasihnya, sehingga hanya dengan memandang gadis itu sahaja dia merasa amat bahagia, sehingga gadis itu selalu diingati di sebut dan di impikan, tetapi dalam pada itu jejaka itu lupa sama sekali terhadap Allah penciptanya ? Mana mungkinkah kiranya seorang hartawan begitu sayang terhadap wang ringgitnya sahaja dan sama sekali tidak pernah ingat dan menyebut nama Allah yang memberi nikmat kekayaan itu ?




Disinilah letaknya kepincangan peradaban dan kebudayaan manusia dari dahulu sampai sekarang. Ramai manusia yang katanya beradap, yang lebih mencintai dan menghargai sebuah lukisan dari pelukisnya. Mereka mencintai sebuah lukisan, kekasih dan hartabenda melebihi daripada Allah yang mencipta semua itu.




Firman Allah surah Al- Ahzab ayat 41 dan 42 yang maksudnya




"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang."




Kita harus ingat bahawa Allah menyuruh kita banyak-banyak mengingatNya, itu adalah semata-mata untuk kebaikan kita sendiri. Apa sebabnya? Karena ialah Siapa, bila dan dimana kita ingat akan Allah, Allah akan pasti ingat kepada kita. Orang yang ingat akan Allah dan diingat oleh Allah, akan tenang jiwanya.




Firman Allah surah Al Baqarah 152, maksudnya :




"Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatku)."




Firman Allah, surah Al Anfal 2, maksudnya:




"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifstNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah."




Firman Allah surah Ar-Ra'd 28, maksudnya:




"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikru'llah. Ketahuilah ! Dengan dzikru'llah itu tenang tenteramlah hati manusia."


Begitu besar faedahnya mengingatkan Allah tetapi kerana kejahilan kita tidak melakukannya. Malah dianggapkan mengingat Allah itu perkara remeh sahaja. Amat malang bagi kita yang meremehkan zikir yang maknanya meremehkan Allah. Na'uzhu bilahi.


Mudah-mudahan kita sekalian termasuk dalam golongan orang-orang yang selalu (banyak) ingat akan Allah dan selalu diingat oleh Allah sehingga berhak mendapat keampunan dan ganjaran besar yang dijanjikan Allah itu. Amin.


Friday, March 18, 2011

DZIKRU'LLAH


ZIKIR mempunyai 3 pengertian iaitu ingat, sebut dan ajaran. Yang dimaksudkan dengan kata-kata zikir di kalangan umat Islam ialah ZHIKRULLAH, iaitu mengingat akan Allah menyebut akan Nama Allah, mempelajari dan membaca firman-firman Allah (Kitab Suci Al Qu'ran) .



Ingat adalah pekerjaan hati (akal) semata-mata, sedangkan sebut ialah mengingat dengan menurut-sertakan lidah. mengingat Allah dengan hati atau akal sahaja adalah baik, tetapi dengan menurut-sertakan lidah (sebutan) adalah lebih baik. Bererti mengingat Allah dengan jiwa dan raga bersama-sama.








Seluruh ayat Kitab Suci Al-Qur'an bila kita ingat, sebut atau pelajari, itu adalah zikir. Kita fikirkan atau pelajari kejadian langit dan bumi dan segala isinya, lalu teringat kita kepada Allah yang menciptakan dan yang mengaturkannya, itu adalah zikir. Semua itu dapat kita lakukan sedang duduk, berdiri (bekerja) atau berbaring. Tetapi cara yang paling hebat berzikir itu ialah dengan melakukan solat.








Sembahyang atau solat ialah mengingat Allah dengan cara istimewa, sempurna, sebab solat itu harus dilakukan dengan memenuhi tiga belas rukun, enam syarat dan lebih kurang 20 sunnat-sunnatnya. Bila salah satu dari rukun dan syaratnya terlanggar dalam solat, maka tidaklah sah solat itu.








Allah memerintahkan kita agar kita sebanyak-banyaknya mengingatkan Allah dengan hati, sebanyak-banyaknya pula mengingatkan Allah dengan lisan (kata-kata dan membaca ayat-ayat Al-Qur'an ) dan sebanyak-banyaknya pula melakukan solat yang wajib dan yang sunnat.




Di antara ucapan-ucapan yang sangat besar ertinya bila kita lafazkan ada 5 kalimah, yang kelimanya di dalam Al Qur'an diberi nama "Al-Baqiyaatus Shalihaat" iaitu manfaatnya akan terus-menerus tidak akan putus-putus selamanya. Di dalam hadis, Rasulullah saw menamakan kelima kalimah itu masing-masingnya amat ringan di sebut oleh lidah, tetapi amat berat timbangannya di akhirat nanti.








Kelima kalimah itu adalah yang tersebut di bawah ini:-










1. Alhamdu lillah






Ertinya " Segala puji-pujian untuk Allah" Kalimah ini dinamakan "tahmid" (memuji) Bertahmid ertinya memuji Allah dengan mengucapkan kalimah ini. Iaitu berterima kasih, bersyukur atau berterima kasih kepada Allah.








Dalam sebuah hadis Rasulullah menerangkan bahawa jikalau seluruh harta kekayaan di permukaan bumi ini diserahkan kepada seseorang, lalu orang itu berkata "alhamulillah maka ucapan alhamdulillah itu lebh besar manfaatnya bagi orang itu daripada seluruh harta kekayaan itu. Hadis itu bermaksud:-






"Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang ada padanya diserahkan kepada seseorang dari umat-Ku, lalu ia mengucapkan alhamdulillah, maka ucapan alhamdulillah itu lebih baik dan lebih berharga baginya ( daripada harta yang banyak itu )"






Oleh kerana itu mengucapkan kalimah Alhamdulillah itu amat luar biasa ertinya di sisi Allah, amat besar faedah dan kesan baiknya bagi orang yang mengucapkannya sebagai tanda terima kasih kepada Allah setelah menerima nikmat Allah. Dapatlah kita fahami, jangan sampai kita lupakan betapa besar besar ertinya mengucapkan Alhamdulillah setiap kali sesudah minum dan makan, selesai mengerjakan segala urusan dan sebagainya. Biasakan lah mengucapkan kalimah tahmid ini dalam kehidupan harian kita. Allah pasti senang kepada kita, Allah pasti membalas ucapan kita, didik anak-anak dan cucu-cucu kita sendiri mengucapkan kalimah ini lebih-lebih lagi selepas makan-minum dan terbangun dari tidur.








Hal ini nampak kecil, remeh, ringan tetapi yang sebenarnya amat besar, amat penting, jangan sampai kita remehkan. Akan besar sekali kesan pengaruhnya kepada anak-cucu kita bila mereka sudah besar nanti. Kesannya amat baik kepada akhlaknya, kepada kehidupan hariannya.






2. Allahu Akbar




Ertinya:- "Allah Maha Besar" Kalimah ini dinamakan takbir, ertinya membesarkan Tuhan. Menyebut kalimah ini pun mempunyai erti yang amat besar pada sisi Allah bila kita ucapkan sebagai tanda pengakuan dan kesedaran kita atas kebesaran Allah. Allah yang kita akui Maha Besar itu akan selalu memberikan pertolongan kepada kita yang selalu merasa diri kita lemah untuk mengatasi segala macam kesulitan dan kesusahan yang kita hadapi. Biasakan menyebut kalimah ini dalam hidup kita. Kalimah inilah yang kita lafazkan dalam setiap gerak-geri kita dalam bersolat, lebih-lebih lagi diwaktu hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.




3. Subhanallah




Ertinya :- "Maha Suci Allah". Kalimah ini dinamakan tasbih, ertinya mensucikan Allah. Menyebut kalimah ini bererti kita bertasbih. Mensucikan Allah bererti menjauhkan dan membersihkan diri kita dari anggapan-anggapan yang tidak baik terhadap Allah. Allah Maha Suci bererti Allah tidak lemah, bukan jelek, bukan bodoh, bukan kejam. Apa sahaja kejadian di dunia ini, tidak ada yang menunjukan Allah bodoh, kejam, lemah, salah. Allah Maha Suci dari segala sifat-sifat yang tidak baik itu. Semua yang terjadi itu sekalipun nampaknya jelek, tidak baik tetapi pasti ada guna dan faedahnya bagi manusia. Terjadinya kegagalan itu, agar manusia lebih berhati-hati dan tidak sombong. Orang jatuh sakit agar berhati-hati menjaga kesihatan, jangan ambil mudah semasa masih sihat dan kuat .




Bersihkan diri kita dari perasaan mengeluh terhadap semua kejadian-kejadian yang tidak kita senangi itu, apalagi terang-terangan mengeluh terhadap Allah. Jangan mengeluh kalau hujan terus menerus turun, atau kemarau hujan tidak turun. Tetapi berdoalah agar hujan turun. Ucapkanlah subhanallah sebanyak-banyaknya dalam kehidupan kita dengan diiringi pengertian yang sedalam-dalamnya tentang ertinya kalimah suci tersebut. Jangan asal sekadar dilafazkan sahaja.






4. La Ilaha Illallah





Ertinya "Tiada Tuhan selain Allah" Kalimah ini dinamakan tahlil atau kalimah tauhid, ertinya : Meng-Esa-kan Allah. Kalimah ini menegaskan sejelas-jelasnya bahawa segala patung, semua binatang, semua manusia, bintang itu bukan tuhan, tidak boleh dianggap tuhan dan tidak boleh disembah. Semua itu makhluk ciptaan Allah, tuhan yang satu, yang Esa, yang tunggal. Tiada tuhan lainkan Allah.


Setiap kita mengucapkan kalimah ini dengan penuh pengertian akan tertanamlah di jiwa kita keEsaan Allah (tauhid) dan akan lenyaplah dari sanubari kita perasaan syirik.


Sebahagian orang Islam mengucapkan kalimah tauhid (tahlil) itu bersama-sama, sampai berpuluh atau beratus kali (bertahlil). Itu adalah amat bail andainya dilakukan dengan penuh pengertian dan kesedaran tentang ertinya dengan tujuan agar semua perasaan syirik dan takut kepada selain Allah dapat dilenyapkan dari hati atau perasaan kita.




5. La haula wa la quwwata Illa billah:




Ertinya: "Tiada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan Allah". Semua daya dan semua kekuatan yang ada pada diri seseorang itu pada hakikatnya adalah daya dan kekuatan Allah yang dipinjamkan Allah kepada kita. Kekuatan atau daya itu saban waktu dapat dicabut oleh Allah, sehingga seorang yang mulanya kuat menjadi tidak punya daya dan kekuatan sama sekali apabila seseorang itu jatuh sakit.


Bukan sahaja kekuatan fizikal atau jasmani tetapi kekuatan mental atau rohani, kemampuan berfikir, kepakaran di dalam segala bidang itu semuanya pada hakikatnya adalah kepunyaan Allah yang dipinjamkan Allah kepada siapa-siapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-Nya. Juga bila-bila masa sahaja dapat dicabut oleh Allah.


Kalimah ini menamamkan rasa berserah diri kepada Allah (tawakkal). Perasaan tawakkal yang dianjurkan Islam dengan perantaraan Al-Quran ini adalah perasaan pantang mengalah, pantang berputus asa dalam segala perkara, lebih-lebih dalam perjuangan hidup di dunia fana ini. Meraeka yang tawakkal pantang berputus asa, berjihad terus dalam keadaan apa sekalipun.





Friday, March 11, 2011

TAUHID RUBUBIYYAAH DAN TAUHID ULUHIYYAH


Ugama kita adalah ugama Tauhid. Umat Tauhid etinya satu umat yang tidak mahu bertuhan selain terhadap Allah sahaja. Ugama Tauhid etinya ugama yang mengajarkan tiada Tuhan selain Allah sahaja.




Tetapi harus kita ketahui, bahawa dalam Ilmu Tauhid, pengertian kata Tauhid bukanlah sesederhana itu tetapi mengandung pengertian yang lebih jauh dan lebih dalam.



Didalam banyak ayat Kitab Suci Al-Quran, kita dapati dua kalimah (kata) tentang Tuhan. Pertama kalimah Rabb dan kedua kalimah Ilaah.



Di dalam ayat "Alhamdulillah rabbil alamien" terdapat kalimat Rabb untuk Tuhan sedang dalam ayat "Wailahukum ilahun wahid" terdapat kata Ilaah untuk Tuhan.




Sebab itu oleh ulama-ulama Ilmu Tauhid diklasifikasikan ada 2 jenis Tauhid. Pertama Tauhid Rubiyyah berasal dari kalimah Rabb dan kedua Tauhid Ulluhiyyah berasal dari kalimah Ilaah.




"Rabbul alamien" ertinya Tuhan yang mencipta seluruh alam sebab itu Tauhid Rububiyyah dapat diertikan dengan Tauhid Ciptan. Sedang Ilaah ertinya adalah Tuhan Penyembahan , sebab itu Tauhid Ulluhiyyah ertinya Tauhid Penyembahan.


Rububiyyah dengan makna ijmali (makna yang menyeluruh) ialah mengiktikadkan Allah dengan iktikad yang jazam bahawa Allah Taala adalah mentadbir semua benda dan perkara yang ada di alam dunia ini - tiada pentadbir yang lain melainkan Allah Taala yang Maha Esa dan Maha Kuasa.




Tauhid Rububiyyah ialah pengakuan, bahawa seluruh alam ini baik alam nyata atau alam ghaib dicipta oleh Tuhan yang satu, yang menciptakan bumi, langit, bulan matahari dan bintang. Tuhan yang satu itu jugalah yang mencipta manusia, jin, malaikat dan iblis. Tuhan yang satu itu jugalah yang menghidupkan segala yang hidup. Tuhan yang satu itu jugalah menumbuhkan segala tumbuhan dan tanaman. Tuhan yang satu itu jugalah yang membuat mataku dan membuat mata pembaca semua yang sedang merenung skrin monitor komputer dihadapan anda. Tuhan yang satu yang membikin nyamuk dan kuman yang halus dan Tuhan yang satu itu jugalah yang bikin gajah, gunung dan planet-planet yang besar itu.


Uluhiyah menurut pengertian ahli bahasa ialah "ketuhanan". Dan menurut pengertian ulama tauhid ialah mengiktikadkan dengan iktikad yang jazam bahawa Allah s.w.t adalah tuhan yang berhak disembah, tiada tuhan yang lain selain daripadaNya iaitu Allah.




Tauhid Uluhiyyah ialah bahawa hanya kepada Tuhan yang satu itulah kita menyembah, memuja, meminta pertolongan beribadat dan berzikir. Hanya Tuhan yang satu itulah yang kita sanjung, kita puji dan hanya kepada Tuhan yang satu itulah kita meminta perlindungan dari segala marabahaya dan kecelakaan, kita pohon kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat nanti. Jadi kita tidak boleh bermohon, meminta kepada kubur dan keramat, meminta kepada wali dan malaikat, tidak kepada para ulamak atau bomoh dan dukun yang masih hidup atau yang sudah meninggal.Tidak boleh kepada keris pusaka atau apa sahaja benda-benda lain yang punya kesaktian kononnya.




Jadi Tauhid Rububiyyah dipunyai oleh semua manusia, yang mukmin atau yang kafir, bukan dipunyai oleh binatang-binatang yang tidak berakal dan kayu-kayu atau batu-batu dan segala tunggul mati.




Sedang Tauhid Uluhiyyah dipunyai hanya oleh manusia yang disamping mengakui adanya Tuhan yang menciptakan segala yang ada, juga menundukkan kepala menyembah kepada Allah, beribadat menyembah Allah, berzikir membesarkan Allah, memuji Allah dan mensucikan Allah dan menjalankan segala perintah Allah dengan perantaraan Nabi-Nabi dan kitab-kitab Suci Nya, dengan perantaraan ugamaNya iatu ugama Islam.




Tauhid Rubiyyh tidak bernilai apa-apa kalau tidak disertai dengan Tauhid Uluhiyyah.




Pengakuan bahawa alam ini dicipta seluruhnya oleh Satu Tuhan, tidak mempunyai nilai apa-apa, bila tidak diiringi dengan ibadat serta ketaatan terhadaap Tuhan Yang Satu itu.




Diterangkan dalam satu hadis shahih yang diriwayatkan oleh Muslim dari Mu'az Bin Jabal Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah saw bertanya:




"Tahukah engkau ya Mu'az apa hak Tuhan atas hamba-Nya? Berkata Mu'az; Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu tentang itu. Bersabda Rasulullah; "Hak Tuhan atas hamba-Nya, agar hamba Tuhan menyembah akan Dia dan mereka tidak boleh mempersekutukan Tuhan ( Syirik ) dengan sesuatu yang lain." Berkata lagi Rasulullah; " Tahukah engkau apa pula hak hamba ( manusia ) atas Tuhan bila mereka sudah menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya?" Menjawab Mu'az: " Allah dan Rasul-Nya pula yang lebih tahu tentang itu" Bersabda Rasulullah : Hak mereka atas Tuhan ialah bahawa Tuhan tidak akan menyiksa mereka dengan api neraka"




Berdasarkan hadis ini dan banyak hadis lain, serta banyak ayat Kitab Suci Al-Quran bahawa ulama Ilmu Kalaam (ilmu Tauhid ) sepakat menetapkan bahawa Tauhid Rubbiyyah semata tidak lah memadani, tidak ada nilainya, kalau tidak disertai dengan Tauhid Uluhiyyah.




Berdasarkan penyembahan manusia terhadap Allah yang satu itulah, Allah menjadi senang terhadap mereka. Allah gembira menerima taubat dan keampunan bila mereka minta taubat atau minta keampunan dariNya.




Sebab itu bila manusia ingin agar Allah senang kepada mereka, agar Allah memberi keselamatan dan kebahagiaan dalam hidup mereka di dunia ini dan di akhirat nanti, perbanyakkan lah ibadat terhadap Allah, perbanyakkanlah sanjungan, pujian dan berterima kasih terhadap Allah, perbanyakkanlah takbir dan tasbih iaitu ucapan yang membesarkan dan mensucikn Allah.




Ketahuilah, tidak ada suatu benda atau seorang manusia pun di dunia ini yang dapat mententeramkan jiwa manusia yang gelisah, yang dapat melenyapkan segala rasa sedih dan sengsara batin selain Allah Yang Maha Esa itu.




Sesusah-susah hati dan segundah-gulananya perasaan, bila kita ingat akan Allah, ingat akan kebesaran Allah, ingat akan janji-janji Allah kepada hambaNya yang taat pada ketika itu akan berkuranganlah kesusahan dan kegundahan itu.




Sekali lagi diperingatkan agar kita benar-benar menyembah dan merendahkan diri terhadap Allah dan dengan mengerjakan ibadat yang diperintahkan Allah itu dengan segala keinsafan dan kesedaran, bahkan hanya dengan ibadat itulah kita akan dapat merasakan kelazatan hidup di bawah sinar matahari ini. atau kelazatan hidup di Alam akhirat nanti.




Latihlah diri agar terbiasa mengerjakan ibadat agar tidak ada perasaan malas beribadat agar insaf dan sedar, bahawa beribadat terhadap Allah itulah perbuatan yang setinggi-tingginya dan seagung-agungnya perbuatan di dunia ini, suatu nikmat yang selazat-lazatnya.












Friday, March 4, 2011

SYIRIK (kisah kubur)


Islam sangat menganjurkan umatnya untuk sering menziarah tanah perkuburan. Ziarah tanah perkuburan hukumnya sunat, ertinya berpahala jika kita kerjakan dan tidak berdosa jika meninggalkannya.

Tetapi jangan sekali-kali kita lupa bahawa ziarah kubur yang di anjurkan Islam ini hanya dengan dua maksud:-


Pertama untuk mengingat kepada kematian. Kalau kita pergi ziarah kubur, kita pasti akan ingat kepada kematian. Mengingat mati adalah ibadat yang baik, pelajaran yang berkesan untuk menghilangkan kesombongan dan keserakahan hidup. Bila kita menziarahi tanah perkuburan, kita akan melihat di hadapan kita terbentang kubur dan batu-batu nisan. Manusia yang dimasa hidupnya menjadi VVIP dan ternama atau orang yang hidupnya melarat dan hina. Bukan hanya teringat akan mati tetapi dengan menziarah kubur ini, kita pasti akan turut memikirkan pula perkara yang lebih dalam, jauh lebih agong iaitu soal sesudah mati. Kita akan memikirkan sesuatu yang selama ini kita lupakan sahaja iatu bahawa di sebalik kubur dan batu nisan yang terjajar itu, terbentang alam ghaib yang lebih luas, yang bernama alam barzah dan alam akhirat dimana roh-roh orang-orang yang sudah mati itu akan kembali hidup sebagaimana kehidupan di dunia ini juga, tetapi dalam waktu yang tidak terbatas, kekal dan abadi. Ada di antara roh-roh itu yang gembira dan ada pula yang sengsara.


Adapun tujuan kedua dari menziarah ke tanah perkuburan yang di anjurkan oleh ugama Islam ialah agar kita turut bermohon dan berdoa kehadirat Allah SAW agar arwah teman dan keluarga kita yang telah meninggal dunia diberi kerahmatan dan keampunan oleh Allah.


Hanya dengan dua tujuan atau maksud itulah kita dibolehkan ziarah, kita tidak boleh marasa takut terhadap kubur, kita tidak boleh ke kubur dengan niat ingin jadi kaya, ingin pangkat atau sebagainya.


Untuk selamat, kaya dan terhindar dari marabahaya kita harus terus bermohon dan berdoa kepada Allah dimana sahaja kita berada, di masjid, di pejabat atau dirumah. Tidak perlu kita pergi ke kubur untuk berdoa. Dimanapun sama sahaja.


Oleh kerana maksud dan tujuan ziarah kubur, maka kita disuruh oleh ugama bukan hanya menziarahi kubur orang tua kita atau para wali sahaja tetapi semua kubur, kubur siapa sahaja tidak ada perbezaan di antara kubur orang alim dengan kubur orang biasa.